TUMPAT: Kehadiran ribuan individu yang mengenakan kain sarung turun dari kereta api di Stesen Tumpat sebelum berarak sejauh 100 meter sambil mengibarkan Jalur Gemilang menarik perhatian ramai.
Pemandangan itu seolah menjadikan kita kembali ke zaman silam apabila ada yang bersemutar, berkain sarung, berbaju kurung kedah dan berselempang demi memenuhi ‘syarat’ progam Keretapi Sarong Kelate 2024, anjuran Kotak Seni dan Persatuan Kreatif Kelantan, hari ini.
Ada peserta yang bersengkang mata menaiki kereta api bermula dari Gua Musang dan Kuala Krai, sebelum ke Tanah Merah, Pasir Mas dengan stesen Wakaf Bharu sebagai ‘check point’ terakhir sebelum sampai ke destinasi yang dituju iaitu Tumpat.
Pengurus Kotak Seni, Nur Asriniey Asaruddin berkata, lebih 3,000 individu yang menyertai Kereta Api Sarong Kelate 2024 itu dan angka itu melebihi jangkauan pihaknya yang hanya menjangka sekitar 1,500 sahaja.
“Kami membuat hebahan sejak beberapa minggu lalu lagi melalui media sosial dan ramai yang menunjukkan minat untuk menyertai dan kami jangkakan sekitar 1,500 sahaja.
“Kami menyediakan 100 tiket kereta api percuma iaitu perjalanan dari Stesen Wakaf Bharu ke Tumpat dan untuk stesen lain kami dimaklumkan turut licin dibeli,” katanya ketika dihubungi.
Sepanjang perjalanan menuju ke Stesen Tumpat, peserta dihiburkan dengan deklamasi puisi, persembahan nyanyian dan akustik serta dikir barat.
Sebaik tiba di Stesen Tumpat jam 10.40 pagi tadi, semua peserta berarak sambil mengibarkan Jalur Gemilang menuju ke taman awam di Padang Kemahkotaan atau dikenali sebagai Pantai Ndo iaitu lokasi yang sedang berlangsungnya program Pasar Cik Siti.
Menurutnya lagi, penganjuran Keretapi Sarong Kelate 2024 adalah bersempena dengan Hari Malaysia dan mereka memilih tema kain sarung kerana pakaian tradisional itu dipakai di semua negeri dalam Malaysia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.