Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kereta terputus dua, pemandu wanita maut 

Oleh: Kumaran Rajamoney

BALING: Seorang wanita maut dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Kampung Bukit Pak Kuning, Kuala Ketil di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitenden Shamsudin Mamat dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian berlaku sekitar jam 5 petang melibatkan sebuah pikap Toyota Hilux dan sebuah kereta Proton Saga Iswara.

Siasatan awal di tempat kejadian katanya mendapati, Toyota Hilux itu bergerak dari arah Kuala Ketil menghala ke Parit Panjang, manakala Proton Saga Iswara dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta itu telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan pikap dalam kedudukan melintang. Oleh kerana jarak terlalu dekat, pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu melanggar di bahagian hadapan menyebabkan keretanya terputus dua.”

“Pemandu kereta Farah Nabihan Mohamad, 37 kemudiannya tercampak ke sebelah kiri jalan dan mengalami cedera parah lalu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Pemandu Toyota Hilux, Noor Aslan Ismail (57) dan penumpang hadapan, Zahrul Asmani Abd Kadir (54) mengalami luka-luka di bahagian dahi.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini