SHAH ALAM: Sebuah kereta terbalik selepas melanggar tayar belakang kenderaan lain dalam kemalangan di Plaza Tol Setia Alam berdekatan Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian itu kira-kira jam 3.30 petang bagaimanapun pemandu kedua-dua kenderaan itu dilaporkan tidak mengalami kecederaaan.
“Siasatan dijalankan mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan jenis Honda City dipandu seorang wanita berumur 36 tahun sedang mengubah haluan sebelum melanggar tayar belakang kenderaan jenis Subaru ketika melalui plaza tol berkenaan.
“Honda City itu dipercayai terbabas sebelum terbalik. Bagaimanapun, kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua pemandu itu termasuk pemandu Subaru iaitu wanita berusia 33 tahun sudah membuat laporan berkaitan kejadian itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) oleh Unit Siasatan Lebuhraya Bukit Aman.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan kejadian melibatkan sebuah Honda City terbalik dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Plaza Tol Setia Alam berhampiran Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) di sini.