Tumpuan :
Nasional

Kereta terbakar punca trafik sesak berhampiran Terowong Menora

Anggota bomba memadam kebakaran kereta jenis BMW berhampiran Terowong Menora, hari ini. – FOTO: JBPM

IPOH: Kebakaran sebuah kereta di Kilometer 259 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan iaitu berdekatan Terowong Menora dari Kuala Kangsar ke Ipoh menyebabkan kesesakan sejauh 17 kilometer hari ini.

Menurut ciapan di Twitter PLUS Trafik, lorong kiri di kawasan kejadian masih ditutup setakat jam 5.22 petang tadi dengan kesesakan di lokasi terbabit yang pada awalnya direkodkan sejauh 5 kilometer kemudiannya menjadi 17 kilometer.

“Status terkini lorong kiri masih ditutup. Trafik sesak 17 KM. Sila rancang perjalanan anda dan pandu berhati-hati. Harap maklum,” menurut ciapan itu.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, kebakaran itu membabitkan sebuah kereta jenis BMW yang musnah 90 peratus.

Beliau berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dibantu oleh BBP Meru Raya digerakkan ke lokasi bagi tujuan pemadaman sebaik panggilan diterima jam 4.09 petang.

Katanya, insiden tidak mengakibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Tindakan memadam kebakaran selesai sepenuhnya pada jam 5.04 petang tadi.

Loading...
Terkini