Oleh : Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Seorang pemandu dan dua penumpang termasuk kanak-kanak cedera selepas kereta dinaiki terbabas sebelum terbakar di Jalan Tuaran Bypass berhampiran Taman Puri Warisan, Inanam, Kota Kinabalu, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 4.50 pagi itu, pemandu lelaki berusia 18 tahun cedera di kepala manakala penumpang wanita berusia 21 dan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun cedera di bahagian kaki dan kepala.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 4.57 pagi.
Jelasnya, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipercayai terbabas lalu terbakar.
“Terdapat tiga mangsa cedera termasuk kanak-kanak perempuan dan semua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Seterusnya semua mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi terkawal pada 5.07 pagi dan tamat sepenuhnya 10 minit kemudian.