Oleh: Kumaran Rajamoney
SITIAWAN: Seorang lelaki maut apabila kenderaan yang dinaikinya terbabas di Jalan Kampung Acheh EON Sitiawan Perak, di sini awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu sekitar jam 5.34 pagi.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan yang tiba di lokasi kemudian mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga FLX.
“Terdapat empat orang mangsa, dengan seorang daripadanya tersepit. Mangsa yang tersepit itu berusia 24 tahun, dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).”
“Seorang lagi mangsa yang cedera berusia 27 tahun, telah dirujuk ke hospital menggunakan kenderaan KKM manakala dua lagi mangsa lingkungan usia 20-an didapati telah meninggalkan lokasi kemalangan,” katanya.
Pasukan bomba dengan jumlah keanggotaan seramai lapan orang katanya telah membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit, dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.22 pagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.