Tumpuan :
Nasional

Kereta terbabas dalam gaung: Identiti mangsa dikenal pasti

Oleh: Fazli Ahmad

MARAN: Identiti empat mangsa terbabit dalam kemalangan kereta yang terjunam ke dalam gaung di Kilometer 152.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT 1), berhampiran FELDA Nerek, di sini, pagi tadi telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, nahas berlaku kira-kira jam 11 pagi tadi, ketika mangsa dalam perjalanan dari Banting, Selangor ke Kuil Sri Marathandavar di Maran.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati kereta dinaiki empat bersaudara terbabit dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri lebuh raya lalu terjunam ke gaung.

“Akibat nahas itu, semua mangsa tersepit dalam kenderaan dan dua penumpang di tempat duduk belakang maut di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan media.

Mangsa terkorban, V. Kohmathy, 60, dari Taman Banting mewah, Banting, Selangor dan K. Vasanthy, dari Taman Kristal Dua, Bandar Putera, Klang.

Pemandu kereta, S. Nishantini, 33, juga dari Taman Kristal Dua dan penumpang depan K. Turgaa Shini, 24, dari Cheras, Kuala Lumpur dilaporkan parah dan sedang dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh.

Kedua-dua mayat telah dihantar ke Hospital Jengka untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini