Tumpuan :
Nasional

Kereta terbabas, bayi 19 hari maut

Foto hiasan

SEREMBAN: Seorang bayi lelaki berusia 19 hari meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, manakala kakaknya berusia sembilan bulan koma selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 3.8, Jalan Kampung Batu-Inas, Rembau, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, DSP Azmi Ali berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 7.50 pagi itu mengakibatkan bayi berkenaan, Muhammad Aryan Qhalish Muhammad Adzril, yang merupakan penumpang hadapan, meninggal dunia selepas bertarung nyawa lebih tujuh jam akibat pendarahan di otak.

“Kakaknya, Putri Eshal, yang berada di tempat duduk belakang, kini masih koma akibat pendarahan di otak dan sedang menerima rawatan di hospital yang sama,” katanya.

Menurut beliau, ketika kejadian, ibu mangsa yang berusia 39 tahun sedang dalam perjalanan bersama lima orang anaknya, termasuk tiga anak perempuan lain berusia 11 tahun dan pasangan kembar berusia 10 tahun, dari arah Jalan Inas menghala ke Kampung Batu, Rembau.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Perodua Alza yang dipandu wanita itu hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kanan. Keadaan jalan di kawasan itu berselekoh dan mempunyai cerun,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa ibu mangsa mengalami kecederaan di bahu kiri, manakala kesemua anak yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Rembau untuk menerima rawatan lanjut.

Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak polis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini