Oleh: Faiz Rais
KUALA SELANGOR: Kereta sakit atau kenderaan buruk yang terbiar dilaporkan semakin meningkat di negara ini, lebih-lebih lagi yang tersadai di lot parkir.
Bukan sahaja mencacatkan pemandangan bahkan mengganggu parkir kenderaan lain.
Meskipun notis amaran dikeluarkan sebelum ditunda, namun ramai pemilik tidak endah dengan tindakan pihak berkuasa itu.
Adakah disebabkan aset itu tidak lagi bernilai atau pemilik enggan mengikut prosedur bagi melupuskan kenderaan berkenaan?
Tinjauan yang dilakukan di sekitar Lembah Klang dan Kuala Selangor mendapati kebanyakan kereta terbiar ini sudah pun remuk, rosak dan dijadikan ‘port’ pembuangan sampah.
Menurut Setiausaha Majlis Perbandaran Kuala Selangor MPKS Mohamad Yusli Askandar, ianya berpunca daripada mereka yang berkemampuan untuk memiliki lebih daripada sebuah kenderaan.
Kebanyakannya berlaku di kawasan perumahan yang lebih 10 tahun dan juga kawasan bengkel kenderaan.
“Pemilik kenderaan yang tidak mampu atau tidak membayar kenderaan mereka yang rosak menyebabkan ia tersadai di kawasan bengkel. Selain itu, operasi yang dibuat juga secara berkala iaitu sebulan dua kali berdasarkan aduan. Mereka juga terpaksa membeli trak tunda sendiri untuk mengurangkan kos mengangkat kenderaan terbiar,” katanya.
Berdasarkan statistik MPKS terdapat beberapa ‘hot spot’ kenderaan sakit dibiarkan iaitu di Saujana Utama, Bandar Puncak Alam dan Bandar Desa Coalfields.
Setakat bulan Jun 2023, sebanyak 12 operasi dilakukan MPKS dengan 33 kenderaan ditunda berbanding tahun 2020 iaitu sebanyak 20 operasi dengan 42 kenderaan yang ditunda.
Masalah lambakan kereta terbiar itu turut dirasai pengusaha premis perniagaan lain.
Mana tidaknya, ada pelanggan merungut terpaksa parkir jauh disebabkan petak kenderaan dipenuhi kereta sakit.
Seorang pengusaha restoran, Abdul Razak Othman berkata apabila kenderaan terbiar ini parkir di tempat letak kereta, maka boleh mengakibatkan kekurangan tempat letak kereta dan juga boleh menarik binatang buas, selain menjejaskan kawasan sekitar.
Sementara itu orang awam yang ditemui, Mohammad Eizuwan Ali berkata kenderaan terbiar ini menggangu mereka yang ingin parkir di kedai makan.
Mereka perlu parkir di tempat yang jauh kerana parkir berdekatan kedai sudah dipenuhi kenderaan terbiar.
Akibat parkir terlalu jauh membuatkan dia akan pergi cari kedai yang lain.
“Mungkin pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh memberi amaran dengan lebih keras atau mencari langkah yang terbaik bagi membendung perkara ini.” katanya.
Pemilik kenderaan terbiar ini sebenarnya mempunyai dua pilihan sama ada melupuskan kenderaan mereka atau menjual kepada syarikat yang membeli kenderaan rosak dan tidak digunakan.
Ini kerana selain menimbulkan risiko keselamatan jalan raya dan isu kebersihan, ia turut membebankan PBT untuk menguruskannya.