SEMENYIH: Sebuah kereta rosak akibat dihempap runtuhan dinding bangunan rumah kedai lama di sini siang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Dan Kebombaan, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kejadian berlaku ketika pemilik kereta keluar ke kedai berhampiran.
Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Semenyih dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 4.58 petang.
Sejurus kereta berkenaan diparkir berhampiran lokasi runtuhan, pemandunya pergi ke kedai berhampiran.
Dinding bangunan rumah kedai itu kemudiannya runtuh sebelum menghempap kereta berkenaan.
Bangunan kedai tersebut katanya adalah struktur bangunan lama dan tidak lagi beroperasi.
Bagaimanapun, kejadian tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.
Kes diserah kepada Majlis Perbandaran Kajang untuk tindakan selanjutnya.