PORT DICKSON: Jalan rosak dan ditampal tidak sekata didakwa menjadi punca kemalangan sebuah kereta merempuh tiga penunggang motosikal di Batu 3, Jalan Pantai, Teluk Kemang di sini.
Dalam kejadian sekitar jam 10 pagi kelmarin, kereta dipandu seorang lelaki warga emas didakwa cuba mengelak lubang sebelum memasuki laluan bertentangan.
Kereta itu kemudian bertembung dengan tiga motosikal sebelum insiden itu tular di media sosial.
Saksi kejadian yang juga pekerja pembersihan, Hassan Taib, 57, berkata, kereta Proton Wira dipandu seorang lelaki berusia sekitar 60-an itu dipercayai cuba mengelak lubang dan bahagian jalan baru diturap.
“Saya difahamkan penunggang motosikal pertama mengalami kecederaan ringan manakala dua lagi mangsa cedera parah.
“Ada yang mendakwa keadaan jalan di situ tidak esok dan pemandu kereta cuba mengelak laluan tidak rata berkenaan. Ada juga dakwaan pemandu kereta warga emas itu berada dalam keadaan tidak sihat, ” ujarnya yang juga adalah pesara tentera.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa untuk membaiki jalan yang tidak sekata, berlubang dan boleh membahayakan pengguna jalan raya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya sedang menyiasat punca sebenar kejadian kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dan tiga motosikal berkenaan.c