BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki cedera parah selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh sebuah kedai di Jalan Sungai Semambu, Kubang Semang, di sini, awal pagi tadi.
Kejadian menyebabkan mangsa yang berusia 30 tahun tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.27 pagi berhubung kemalangan itu.
“Apabila tiba didapati Proton Persona yang dipandu seorang lelaki terbabas dan melanggar sebuah kedai.
“Mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu. Anggota bomba kemudian membuat kerja-kerja penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa.
“Pada 1.52 pagi, mangsa berjaya dikeluarkan dan dia yang parah dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut,” katanya.