Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kereta rempuh gerai bazar Ramadan: Polis siasat unsur kecuaian pemilik kereta 

 

JELEBU: Kecuaian di pihak pemilik kereta antara unsur disiasat polis berkait kejadian kereta menggelongsor di bazar Ramadan Kuala Klawang, di sini pada Selasa lalu yang menyebabkan seorang peniaga melecur terkena minyak panas dalam kuali yang tertumpah.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin tidak menolak kemungkinan ada unsur kecuaian oleh pemilik kereta, termasuk brek tangan Proton Persona itu diturunkan oleh kanak-kanak yang ditinggalkan dalam kenderaan berkenaan.

“Dua kanak-kanak, masing-masing berusia dua dan enam tahun yang ditinggalkan dalam kereta dengan enjin masih hidup ketika kejadian itu, tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, ada banyak faktor boleh menyebabkan kereta itu menggelongsor sebelum melanggar gerai peniaga bazar Ramadan berkenaan dan menyebabkan peniaga lelaki melecur 25 peratus terkena minyak panas tertumpah.

“Peniaga berusia 40 tahun itu masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dilaporkan stabil,” katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Rule 14(1)(A) LN 166/59 (tidak mematikan enjin ketika meninggalkan kenderaan).

Maslan turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan kenderaan diletakkan dalam keadaan selamat, selain tidak meninggalkan kanak-kanak dalam kenderaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Khamis lalu, media melaporkan dalam kejadian pada hari pertama Ramadan, seorang peniaga melecur 25 peratus pada belakang badan, paha dan betis sebelah kiri terkena minyak panas dalam kuali yang tertumpah selepas dilanggar kereta menggelongsor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini