REMBAU: Tiga kereta dan sebuah kereta perisai Gempita milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbabit kemalangan di Kilometer 36.4 Jalan Seremban-Tampin jam 10.50 pagi tadi.
Kemalangan tidak membabitkan kehilangan jiwa.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata selain kereta perisai Gempita milik ATM, kemalangan itu turut membabitkan kereta jenis Proton Saga, Proton Saga FLX dan Perodua Axia.
“Siasatan awal mendapati pemandu kereta Perodua Axia dipandu wanita 29 tahun hilang kawalan lalu melanggar belakang kereta Proton Saga dipandu wanita berusia 48 tahun yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka.”
“Sejurus selepas itu datang sebuah kereta Proton Saga FLX dipandu lelaki berusia 45 tahun melanggar belakang kereta Proton Saga menyebabkannya masuk kelaluan bertentangan sebelum dilanggar oleh kereta perisai Gempita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shaik Abd Kadar berkata akibat kemalangan itu pemandu Perodua Axia dan penumpangnya mengalami kecederaan di bahagian bibir kesan hentakkan daripada beg udara kereta dan dihantar ke Hospital Rembau untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pemandu dua lagi kereta termasuk pemandu Gempita tidak mengalami kecederaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.