MELAKA: Sebuah kereta Mercedes Benz C300 terbabas ke bahu jalan bercerun sebelum merempuh sebuah rumah di Batu 4 1/2 Bukit Duyong, dekat sini, awal pagi semalam.
Penghuni rumah, Nabilah Roslan berkata dalam kejadian 5.40 pagi, dia bersiap untuk solat Subuh sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari hadapan rumah.
Bapanya Roslan Atan, 60, segera membuka pintu rumah dan mereka melihat sebuah kereta terperosok di beranda rumah dengan bahagian bonet hadapan remuk selain sebatang tiang rumahnya runtuh.
“Mujur ada tiang konkrit, jika tidak mungkin kereta itu terus merempuh ke dalam rumah.
Pemandunya seorang pemuda lingkungan usia 20-an kemudian merangkak keluar dari kereta dan hanya cedera melecet di kaki.
“Dia hanya kata mahu menelefon keluarganya yang datang tidak lama selepas itu,” katanya.
Sementara itu, Roslan berkata, kejadian itu kali pertama berlaku dan dia membuat laporan di Balai Polis Bandar Hilir untuk tindakan lanjut.
Katanya, kejadian itu menyebabkan beranda rumahnya rosak teruk termasuk sebatang tiang roman dan atap runtuh selain tembok rumah, kerusi serta meja bata turut pecah.
“Selain itu, tiga motosikal saya turut rosak dihempap tembok batu dan zink depan rumah yang runtuh.
“Apapun saya bersyukur kejadian tidak menyebabkan kecederaan pada kami sekeluarga dan mujur juga saya sedikit lewat keluar ke surau bagi solat Subuh dengan motosikal.
“Jika tidak mungkin dilanggar kereta itu yang turut merempuh penghadang besi sebelum terbabas kira-kira 50 meter dari atas jalan dan melanggar rumah,” katanya.
Kejadian itu turut tular apabila dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong, Datuk Noor Helmy Abdul Halem menerusi Facebook selepas menziarahi mangsa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.