SEKINCHAN: Perjalanan pulang lima sekeluarga selepas mandi-manda, berakhir tragedi apabila seorang daripadanya maut dalam nahas di Sungai Nibong, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 pagi tadi, wanita berusia 40-an disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di tempat kejadian, selepas tidak sedarkan diri.
Manakala empat lagi mangsa terdiri daripada seorang lelaki, wanita, kanak-kanak lelaki dan remaja lelaki, masing-masing berusia 10 hingga 30-an cedera.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.58 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dan Sekinchan dikejarkan ke lokasi.
“Menurut laporan awal, sebuah kereta Proton Saga dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar struktur penutup longkang simen.
“Keluarga terbabit sebelum itu mandi-manda di Sungai Bera, Pahang dan dalam perjalanan pulang ke Sungai Besar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, mangsa lelaki tersepit di tempat duduk pemandu selama 40 minit.
Menurutnya, anggota bertugas kemudian mengambil masa selama kira-kira 25 minit untuk mengeluarkan kesemua mangsa.
“Mereka yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk rawatan lanjut.