PETALING JAYA: Seorang pemandu kereta bertindak melarikan diri dan meninggalkan keretanya selepas melanggar sebuah motosikal di Semenyih, Selangor tengah hari tadi.
Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di muka.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 12.39 tengah hari.
Sebuah jentera bersama lima pegawai dan anggota kemudian dikejarkan ke lokasi.
Sejurus tiba, didapati seorang penunggang motosikal tersepit di bawah kereta dan usaha mengeluarkan mangsa segera dilakukan.
Mangsa berusia 45 tahun berjaya dikeluarkan beberapa minit kemudian dan dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.
Difahamkan usaha mengesan pemandu kereta berusia 30an giat dijalankan.
Punca sebenar kemalangan masih disiasat.