Tumpuan :
Nasional

Kereta jatuh gaung 20 meter, 2 lelaki terselamat

FOTO: JBPM Sabah

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Terbabas ke dalam gaung dengan kedalaman 20 meter, namun terselamat.

Situasi cemas itu dialami dua lelaki dalam satu kemalangan di Kampung Kopungit, di sini, malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.19 malam.

14 anggota bomba bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak dua kilometer dari balai bomba.

“Lapor kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga FLX terbabas sendiri lalu jatuh ke dalam gaung sejauh 20 meter,

“Terdapat dua orang mangsa terlibat dan telah keluar dengan sendiri. Mangsa dilaporkan selamat dan enggan dihantar ke hospital,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Operasi ditamatkan pada jam 8.55 malam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini