JOHOR BAHRU: Kereta Toyota Vios yang dipandu seorang warga emas terjunam ke dalam longkang besar di persimpangan lampu isyarat Jalan Persisiran Perling 1 dan Jalan Simbang Taman Perling di sini, hari ini.
Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pemandu berusia 68 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
Katanya pihak polis menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan tiga kenderaan membabitkan Toyota Vios, sebuah teksi dan Perodua Myvi, pada 2.53 petang.
“Siasatan awal polis mendapati teksi dipandu lelaki tempatan yang berada di lorong tengah secara tiba-tiba membelok ke kanan jalan.
“Akibatnya kereta dipandu warga emas yang berada di lorong kanan cuba mengelak dan melanggar sebuah Myvi sebelum terjunam ke dalam longkang.
“Kes disiasat di bawah Rule 8 Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu tidak mematuhi lorong yang betul semasa di persimpangan,” katanya.
Terdahulu tular gambar kereta Vios berwarna biru berada di dalam longkang besar, yang mana orang awam cuba membantu mengeluarkan pemandu berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.