comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kereta dihimpit, jururawat ditarik keluar sebelum dibelasah lelaki


KUALA PILAH: Jururawat wanita yang ditemui tidak sedarkan diri di tepi Jalan Simpang Tiga Dangi, dekat Johol, di sini, malam kelmarin dipercayai ditarik keluar dari kereta sebelum diserang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, polis giat memburu suspek iaitu seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

“Hasil siasatan lanjut kejadian kira-kira jam 10 malam itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, dari arah Hutan Percha.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa mengatakan kereta dinaikinya dihimpit sebuah kenderaan memaksanya memberhentikan keretanya di bahu jalan.

“Suspek berusia lewat 30-an dikatakan membuka pintu kereta mangsa, menariknya keluar dan menumbuknya di bahagian muka beberapa kali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, mangsa turut menyatakan dipukul dengan objek tumpul di bahagian belakang kepala yang menyebabkannya separuh sedar ketika ditemui selain turut menyebabkan kecederaan.

“Siasatan juga mendapati kejadian ini bukan kes rompakan seperti yang ditularkan memandangkan tiada barang berharga milik mangsa hilang.

“Pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian bahu kanan dan kepala. Dia stabil, tiada sebarang kesan kecederaan patah atau parah di mana-mana bahagian anggota badan.

“Polis kini giat mengesan suspek, motif dan punca kejadian sedang dikenal pasti. Orang ramai diingatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan mangsa ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri, tertiarap berhampiran keretanya dengan keadaan enjin masih hidup.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini