Tumpuan :
Nasional

Kereta bertembung pikap, buruh maut, rakan cedera parah

Foto hiasan

SETIU: Seorang buruh lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas kereta mereka naiki bertembung pikap di Kampung Chalok Kedai, Kilometer 63 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata mangsa Mohd Fairul Azwa Ramli, 34, dari Kampung Bukit Kecil, Bandar Permaisuri maut di tempat kejadian.

Kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu pikap Isuzu Dmax dengan kereta Proton Wira kira-kira jam 8.30 malam.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu pikap bersama seorang penumpang dalam perjalanan keluar dari simpang rumah di Kampung Rahmat menuju ke jalan utama.

“Mangsa bersama rakannya dalam perjalanan dari Bandar Permaisuri ke Kuala Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu pikap keluar simpang secara mengejut untuk ke jalan utama lalu dilanggar mangsa di laluan Kota Bharu-Kuala Terengganu.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat.

“Manakala rakannya penumpang hadapan berumur 46 tahun mengalami cedera parah dihantar ke Hospital Setiu sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan kini dilaporkan stabil,” katanya.

Beliau berkata, pemandu pacuan empat roda berumur 23 tahun bersama penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini