Tumpuan :
Nasional

Kereta bertembung lori, anak maut manakala ibu parah 

KUALA SELANGOR: Seorang kanak-kanak perempuan maut, manakala ibunya parah dalam nahas dua kenderaan di Kilometer 12 Jalan Kuala Selangor-Rawang, dekat Kampung Kuantan, di sini, hari ini

Kemalangan jam 2 petang itu membabitkan kereta Toyota Vios dan lori Toyota Dyna Hiace.

Mangsa yang maut ialah penumpang hadapan Toyota Vios, Nur Arissa Safiyya Mohd Azril, 8, dari Kampung Kenangan, Rantau Panjang, Serdang, Kedah.

Kanak-kanak itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang.

Manakala ibunya, Norshaniza Mohamad Nayan, 34, dan pemandu lori berusia 58 tahun, masing-masing parah dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Tanjong Karang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki guru wanita bersama anak perempuannya itu dalam perjalanan dari Bestari Jaya ke Kuala Selangor.

“Tiba di lokasi iaitu semasa melalui selekoh, Toyota Vios disyaki hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

“Pada masa sama, lori yang berada di laluan itu tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kereta terbabit,” katanya.

Mohd Ambia berkata, akibat pertembungan itu, Nur Arissa Safiyya mengalami kecederaan parah dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 5 petang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini