comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerani sekolah muncul juara Pantun Lakon 2024

Oleh: Ikhwan Zafran Azman

KUALA LUMPUR: Niat untuk mendapat pengalaman bertukar kepada mendapat ganjaran yang tidak disangka-sangka.

Itu yang dirasakan Ratna Atiqah Zainal Amin,33, selepas dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan Malam Pantun Lakon 2024, anjuran Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam.

Ratna, yang merupakan kerani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Zulkifli Muhammad, Slim River Perak, menyifatkan kemenangannya sebagai satu perkara yang tidak disangka dan diramal.

“Saya sangat terkejut pastinya, sebab saya pun tak jangka menang, sebab datang sini memang macam nak menikmati lakonan dan pantun itu. Tapi Alhamdulillah la rezeki saya,” katanya selepas dinobatkan sebagai juara Pantun Lakon 2024 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, di sini, malam tadi.

Ratna menewaskan 5 peserta lain sekali gus merangkul dua gelaran iaitu Juara pertandingan dan Pelakon terbaik.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, Hazami Jahari berkata pertandingan itu bertujuan
untuk melahirkan bakat baru pemantun negara.

Beliau juga berkata konsep pertandingan kali ini adalah berbeza berbanding edisi lalu kerana setiap peserta dinilai melalui skrip dan penceritaan.
“Pada tahun ini, penganjur yang menyediakan skrip, daripada itulah mereka berlakon dan menetapkan pantun-pantun yang berkaitan dengan cerita tersebut.

“Pada tahun lepas kita menggunakan latar belakang dikir barat, bagaimanapun tahun ini kita menggunakan latar muzik,” katanya.

Pertandingan yang memasuki edisi kedua tersebut menerima 41 penyertaan dari seluruh negara menerusi hebahan di media sosial dan enam daripada mereka layak peringkat akhir.

Peserta juga perlu menghantar video mereka berpantun di platform media sosial sebelum disaring oleh juri pada 22 Ogos hingga 15 September lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini