Tumpuan :
Nasional

Kerang Pantai Sura perlu dimasak sempurna, kandungan bakteria dan E.coli dikesan tinggi

KUALA LUMPUR: Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menasihatkan orang ramai yang mengutip kerang terdampar di Pantai Sura di Dungun, Terengganu supaya memasaknya dengan sempurna terlebih dahulu sebelum dimakan.

Pengarah Perikanan negeri, Ruzaidi Mamat berkata ia mengambil kira kajian ke atas kerang pada tahun sebelumnya iaitu pada 2014, 2016, 2019 dan 2021), di mana analisis makmal menunjukkan tahap bakteria Fecal coliform dan Escherichia coli (E.coli) dalam sampel kerang melebihi piawaian ditetapkan.

“Kerang dalam kategori ini diklasifikasikan sebagai Kelas B, yang memerlukan pemasakan sempurna sebelum dimakan.

“Selain itu, kehadiran bakteria Vibrio parahaemolyticus, yang bersifat meluas (ubiquitous) dalam persekitaran air laut, turut dikesan dalam sampel terdahulu,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya telah menjalankan analisis terkini berkaitan Pesta Kutip Kerang di Pantai Sura susulan fenomena ini berulang pada tahun ini.

Katanya, sampel air dan kerang juga diambil semalam untuk memastikan keselamatan pengguna.

“Hasil analisis awal menunjukkan tiada kehadiran plankton yang menghasilkan biotoksin dikesan dalam sampel air.

“Analisis bakteria pada kerang sedang dijalankan oleh Makmal Biosekuriti Perikanan Kuantan dan keputusan penuh akan diumumkan dalam masa tiga hari,” katanya.

Fenomena kerang dihanyutkan ke darat akibat ombak kuat ini telah beberapa kali dilaporkan, termasuk pada tahun-tahun sebelumnya.

“Kajian menyeluruh oleh Jabatan Perikanan membuktikan keperluan pematuhan kepada amalan keselamatan makanan, khususnya memastikan semua kerang dimasak dengan sempurna sebelum dimakan.

“Sehubungan itu, Jabatan Perikanan menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan makanan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini