Tumpuan :
Nasional

Kerana elak jalan berlubang punya pasal, seorang maut

Keadaan Proton Iswara dinaiki mangsa yang remuk teruk akibat dirempuh bas ekspres.

KINABATANGAN: Seorang kanak-kanak perempuan terkorban selepas kenderaan dinaikinya dirempuh sebuah bas ekspres dalam satu kemalangan di Kilometer 117, Jalan Sandakan ke Lahad Datu, berdekatan Kampung Paris Satu, di sini hari ini.

Mangsa berusia empat tahun yang cedera parah di badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 11.05 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata hasil siasatan mendapati sebelum kemalangan maut itu berlaku terdapat satu lagi kemalangan awal membabitkan dua buah lori.

Menurutnya, kemalangan awal berkenaan disebabkan kenderaan terbabit cuba mengelak jalan berlubang dan tidak rata.

Kemalangan itu menyebabkan kenderaan dinaiki mangsa iaitu Proton Iswara dan sebuah lori tiga tan menghentikan kenderaan mereka.

Tiba-tiba bas ekspres yang datang dari arah yang sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kenderaan dinaiki mangsa.

“Pelanggaran itu menyebabkan kenderaan dinaiki kanak-kanak itu menggelongsor ke hadapan lalu melanggar bahagian belakang lori tiga tan,” katanya.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, pemandu Proton Iswara cedera ringan dan seorang penumpangnya iaitu kanak-kanak terbabit meninggal dunia.

Pemandu lori tiga tan, pemandu bas bersama seorang konduktor serta 29 orang penumpang tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Susulan itu, polis menahan pemandu bas kerana memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Loading...
Terkini