comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerana banjir, pelancong Taman Negara dari Algeria terpaksa makan di rumah penduduk 

 Hassan bersama isteri dan tiga anaknya dari Algeria bergambar bersama keluarga Zamri. – FOTO : NSTP

JERANTUT: Sepasang suami isteri dan tiga anak dari Algeria terpaksa menumpang makan di rumah penduduk kampung di Kuala Tahan berikutan restoran terapung di kawasan itu ditutup akibat banjir dan arus deras.

Beberapa buah kedai makan lain di pekan Kuala Tahan turut ditutup kerana terputus bekalan air sejak beberapa hari lalu dan dijangka pulih esok.

Situasi yang menyukarkan pelancong berkenaan bagaimanapun menjadi detik manis apabila mereka dipelawa seorang penduduk kampung untuk menjamu selera di rumahnya.

Hassan Basri, 45 bersama isterinya Sorea, 40 serta tiga  anak lelakinya berusia 8 hingga 15 tahun dikatakan mengunjungi Taman Negara di Kuala Tahan sejak dua hari lalu.

“Saya sungguh beruntung kerana berjumpa dengan seorang penduduk kampung yang begitu baik hati dan mempelawa kami makan di rumahnya kerana memahami masalah kami.

“Kami juga teruja dapat makan makanan tempatan. Ketika berada di Kuala Lumpur kami hanya makan nasi lemak nasi goreng, mee goreng”, katanya.

Hassan bersama isteri dan tiga anaknya dari Algeria seronok dapat menikmati masakan Melayu di rumah Zamri. – FOTO : NSTP

 

Hassan dan keluarga mengakui teruja merasai lauk tradisi seperti ikan patin masak tempoyak, talapia bakar, sayur goreng pucuk paku serta sambal belacan.

Katanya, walaupun lauk yang dihidangkan keluarga Zamri Mat Ami, 55 itu sedikit pedas, namun mereka sekeluarga gembira menikmatinya.

Sementara itu Zamri berkata, dia turut menyediakan aktiviti lain untuk keluarga tersebut kerana mereka bercadang untuk tinggal seminggu di kawasan berkenaan.

“Oleh sebab mereka keluarga Islam, saya mempelawa mereka makan di rumah saya tanpa mengenakan sebarang bayaran dan mereka bersetuju kerana nak merasa masakan melayu.” katanya.

Zamri yang pernah berkhidmat sebagai pemandu pelancong selama hampir 30 tahun itu berkata, dia teruja membantu keluarga berkenaan supaya mereka tidak bosan ketika berada di Kuala Tahan pada musim banjir.

“Saya membawa mereka melawat konservasi penetasan telur labi-labi yang terletak di Kampung Gol, 8 kilometer dari Kuala Tahan selain bercampur gaul dengan masyarakat tempatan dan mengikuti akvitivi harian mereka.” katanya

Hassan merupakan seorang ahli perniagaan di Algeria dan difahamkan sudah tiga minggu berada di Malaysia.

Mereka sekeluarga juga bercadang untuk mengunjungi Melaka dan Langkawi selepas ini.

Loading...
Terkini