Tumpuan :
Nasional

Kerajaan usaha kesan veteran ATM untuk BSH

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang melaksanakan pelbagai usaha mengesan lebih ramai veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya dapat dibantu menerima bantuan Sara Hidup (BSH).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata, buat masa ini seramai 8,730 daripada 9,000 veteran ATM menerima BSH secara bulanan sebanyak RM300 terdiri daripada mereka yang tidak berpencen.

“Buat masa ini, 97 peratus daripada 9,000 penerima BSH bulanan sebanyak RM300 adalah veteran yang tidak berpencen. Usaha sedang dilakukan untuk mengesan (lebih ramai veteran).

“Masalah dihadapi oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ialah mereka yang dahulu tidak mendaftar dengan JHEV dan itu sebabnya kami menggalakkan, memohon dan meminta persatuan veteran ATM mencari dan mendaftarkan veteran yang belum berdaftar,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan sejauh mana pelaksanaan BSH kepada veteran ATM tidak berpencen khususnya kategori B40.

Mohamad berkata, ramai dalam kalangan veteran yang tidak mendaftar dengan JHEV adalah dari Sabah dan Sarawak.

Katanya, perkara itu amat menghairankan Kementerian Pertahanan sehingga Pengarah JHEV ke negeri berkenaan untuk memastikan kebajikan veteran di sana, dapat diberi perhatian.

Menjawab soalan tambahan Muhammad Islahuddin sama ada kementerian akan menyelaras kadar pencen veteran, Mohamad berkata, pihaknya sedang mencari formula yang terbaik berhubung perkara berkenaan.

“Beberapa pilihan sedang kami terokai, yang mana pilihan terbabit boleh diterima supaya kita mengimbangi antara bebanan kewangan dan kebajikan kerana kita tidak mahu pakai letak sahaja (cadangan) dan akhirnya ditolak.

“Saya sudah meminta timbalan menteri sendiri memberi tumpuan kepada isu ini dan berbincang dengan semua pemegang taruh termasuk persatuan (veteran ATM) untuk kita dapat cari satu formula yang menang-menang kepada semua,” katanya.

Loading...
Terkini