KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk turut memberi perhatian serius dalam menyelesaikan pelbagai isu tanpa kewarganegaraan yang lain di negara ini.
Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad, berkata sepanjang tahun lalu pihaknya menerima sebanyak 138 aduan membabitkan pelbagai isu tanpa kewarganegaraan.
Antara permasalahan yang diadukan membabitkan isu kanak-kanak baru lahir yang dijumpai, Orang Asli, anak angkat di Malaysia, Orang Asal di Sabah dan Sarawak, anak tidak sah taraf atau yang lahir dari perkahwinan yang tidak didaftarkan, orang tanpa dokumen dan lain-lain.
“SUHAKAM amat menghargai komitmen kerajaan dalam menjamin hak asasi manusia dan keadilan sosial di Malaysia.
“Oleh itu SUHAKAM berharap kerajaan sedia membantu dan bekerjasama untuk memastikan keputusan baru ini dilaksana dengan cepat dan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rahmat berkata, SUHAKAM menghargai dan menyambut baik keputusan kerajaan sebagaimana yang diumumkan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasuiton Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.
Ia bagi memberikan kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warga negara.
Katanya, keputusan itu adalah langkah penting dalam memenuhi hak kanak-kanak dan wanita di Malaysia selaras tanggungjawab negara sebagai ahli kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita.
“Dengan cadangan pindaan itu, kerajaan sudah mengambil langkah positif ke arah memastikan hak asasi manusia setiap warga Malaysia, tidak kira jantina atau tempat lahir, diiktiraf dan dilindungi,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan pengumuman sebelum ini terdapat 2,352 permohonan kewarganegaraan diterima antara 2018 sehingga 2021 daripada ibu warga Malaysia untuk anak mereka.
“Isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan ini menyebabkan pelbagai kesukaran, seperti akses yang terhad kepada perkhidmatan asas termasuk pendidikan dan penjagaan kesihatan.
“Hal ini juga menyebabkan tekanan emosi yang besar dan stigma sosial bagi keluarga yang terkesan,” katanya.
Terdahulu, kerajaan bersetuju memberi kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia, yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara.
Keputusan dibuat pada mesyuarat Jemaah Menteri, kelmarin selepas meneliti dan bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan Bahagian I Seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II, Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua.
Kesan daripada keputusan ini, anak yang lahir di luar negara sebelum atau selepas Hari Malaysia, yang mana sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya adalah warganegara Malaysia, berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang menurut Fasal (1) Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan. -BERITA HARIAN