Tumpuan :
Nasional

[EKSKLUSIF] Op Tiris diteruskan, tuntut semula nilai kerugian daripada sindiket penyelewengan


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Op Tiris akan diteruskan pada tahun depan dengan beberapa penambahbaikan dalam usaha menyelamatkan wang negara daripada ketirisan selain memastikan subsidi diagihkan kepada golongan sasar.

Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam, penambahbaikan itu meliputi tuntutan semula nilai ganti rugi bekalan bersubsidi daripada pesalah sindiket penyeludupan dan penyelewengan.

Beliau berkata, cadangan penambahbaikan tersebut dipersetujui dalam mesyuarat dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, baru-baru ini.

Pengarah KPDN, Datuk Azman Adam di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Putrajaya. – FOTO: NSTP

“Dalam konteks penguatkuasaan kita pada tahun hadapan, antara yang menjadi tumpuan, hukuman yang lebih tegas dan keras. Sebagai contoh mereka (sindiket) yang terbabit (dalam penyelewengan), kami akan gantung lesen, kami akan batalkan lesen (mereka).

“Kedua, kemungkinan besar kes (akan) membabitkan ‘recovery’ (tuntutan) balik contohnya kerugian yang dialami oleh kerajaan, kita ada agensi seperti pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), kita akan bekerjasama mendapatkan balik (nilai kerugian itu).

“Kita akan ambil tindakan untuk mendapatkan balik (nilai) kerugian terbabit daripada pihak menyeleweng,” katanya pada temu bual bersama Buletin TV3 dan Berita Harian (BH).

Mengulas lanjut, Azman berkata, penambahbaikan lain antaranya memperkukuh sinergi dan perkongsian maklumat selain kerjasama rapat di antara semua agensi penguatkuasaan dalam mendepani cabaran baharu termasuk ketidaktentuan geopolitik dunia.

Jelasnya, penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan juga akan membantu dalam aspek penyiasatan serta serbuan.

“(Op Tiris) ini adalah satu program yang bukan sahaja diteruskan tetapi ditambah baik untuk memastikan bahawa apa yang dihasratkan kerajaan (dapat dilaksanakan), kita bukan menghalang subsidi dan kita tidak pernah menghentikan subsidi, sebenarnya subsidi ini disasarkan kepada golongan yang betul-betul layak dan memerlukan.

“Ini juga adalah satu kaedah bagaimana kita nak menyelamatkan wang negara daripada ketirisan dan boleh membantu menambah baik fiskal kerajaan dan penjimatan daripada kegiatan tidak diselewengkan ini, boleh diperuntukkan untuk program yang boleh memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Buletin TV3 melaporkan, Op Tiris 3.0 yang dilancarkan di seluruh negara sejak 1 Januari lalu berjaya merekodkan nilai rampasan pelbagai barangan terkawal dan bersubsidi bernilai RM90.8 juta setakat Isnin lalu.

Rampasan petrol RON95 merekodkan angka tertinggi dengan 933 kes, diikuti diesel sebanyak 734 kes, minyak masak peket 1 kilogram (472 kes), gula putih (241 kes), gas petroleum cecair (LPG) (197 kes) dan tepung gandum (99 kes).

Sejumlah 616 tangkapan turut dilakukan dalam tempoh sama membabitkan 490 rakyat tempatan, dua penduduk tetap dan 124 warga asing.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini