comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan tubuh Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan, tangani pertindihan fungsi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.-FOTO FAIL NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk menubuh Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan termasuk Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) bagi menangani pertindihan fungsi dalam badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan oleh mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon.

Menurut beliau, bagi memastikan pelaksanaan yang sewajarnya, Unit Pantau MADANI, yang dipengerusikan oleh Mohd Khalid Mohamed Latiff akan melaksanakan pemantauan bagi memastikan ia tidak tersasar daripada matlamat.

“Apabila dikaji semula seperti mana yang disinggung oleh Yang Berhormat (Datuk Mohd Shahar Abdullah BN-Paya Besar), memang ada pertindihan dan kadang-kadang perlu diingatkan mengenai matlamat asalnya.

“Apakah masalah yang memaksanya menjana pertumbuhan, berdaya maju secara komersial tetapi di samping itu memenuhi agenda negara,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohd Shahar mengenai pelan di bawah agenda reformasi khusus untuk GLC, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan agensi untuk memastikan keseimbangan antara objektif korporat dan ekonomi nasional tercapai.

Anwar menegaskan bahawa meskipun badan-badan ini bebas di bawah lembaga masing-masing, mereka tidak wajar mengetepikan prinsip tata kelola dan tadbir urus yang ditetapkan.

“Saya juga tegaskan keperluan untuk (Jabatan) Audit Negara untuk campur tangan kerana kita kadang-kadang tidak dapat pantau sehingga ke peringkat bawah dan kecelaruan banyak juga berlaku dengan agensi yang terus mencatat kerugian tahun demi tahun,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata pandangan Bank Dunia mengenai kajian membabitkan perusahaan milik negara melibatkan beberapa negara pada 2023 telah diambil kira.

“Ia merupakan sebab mengapa kita meneliti semula (perkara tersebut),” kata Anwar.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini