Oleh : Amirulhakim Lokman
SELANGOR : Kerajaan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi memantau hasil dan input Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dalam usaha mengekang isu ketirisan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tegas mahukan perkara sedemikian tidak berulang.
“Kita perlu terus memberi latihan dan memberi kesedaran supaya orang akan sentiasa memberi terbaik dalam tata kelola mereka
“Supaya apa saja ketidakpatuhan kepada proses prosedur apatah lagi kalau berlaku salah laku itu dapat kita kurangkan jika tidak dapat dihapuskan.
Itu yang kita nak fokus maksud tata kelola yang baik”, katanya yang ditemui selepas menghadiri program bual bicara Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 dalam rangka promosi Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di Sri Pentas, di Petaling Jaya, di sini.
Antara yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima, MPTN Kamaruddin Mape dan Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar.
Jelasnya, Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang bakal berlangsung pada 8 hingga 10 Disember depan, di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bertujuan menyebar luas dan mempromosikan dasar dan inisiatif baharu, yang diperkenalkan kepada rakyat.
Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan serta membina kepercayaan dan keyakinan antara kerajaan dengan rakyat, melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.