comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan tubuh jawatankuasa khas kaji undang-undang Islam di peringkat negeri

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin & Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji undang-undang Islam di peringkat negeri sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan institusi kehakiman Syariah di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, jawatankuasa khas ini akan meneliti cadangan pindaan terhadap Akta 355 yang telah dibincangkan dengan pelbagai pihak berkepentingan.

“Bagi memastikan proses berlaku secara teliti dan menyeluruh, beberapa sesi libat urus dengan pihak berkepentingan telah pun dibuat untuk mendapatkan pandangan terhadap pindaan yang dicadangkan.

“Antaranya ialah sesi libat urus bersama dengan Ketua Hakim Syarie negeri-negeri, Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu katanya, pihaknya juga telah mengadakan sesi libat urus bersama Ketua Pendakwa Syarie dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama serta Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.

Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menyatakan bahawa pindaan Akta ini hendaklah dibuat dengan teliti supaya ia menjadi satu dokumen yang kukuh, disepakati oleh semua Negeri, Mufti dan Ulama ketika Konvensyen Memartabatkan Perundangan Syariah Julai lalu.

Jelas beliau, cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 akan dibentangkan terlebih dahulu dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri untuk persetujuan dasar sebelum dibentangkan di Parlimen.

“Pindaan kepada akta ini akan dibawa ke Parlimen bersama dengan suatu akta baharu insya-Allah

“Bukan sahaja akta ini tetapi akta baru, iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dengan tujuan untuk memperkasa Mahkamah Syariah.

“Kedua-dua Rang Undang-Undang tersebut akan dibentangkan di Parlimen setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri bagi memastikan hasrat untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah dapat direalisasikan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini