Tumpuan :
Nasional

Kerajaan tidak teragak-agak ambil tindakan jika wilayah negara diceroboh

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat ancaman terhadap kedaulatan Malaysia.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin bagaimanapun berkata, Kuala Lumpur sentiasa mengutamakan saluran diplomatik bagi memelihara hubungan dua hala di antara Malaysia dan negara lain.

“Kerajaan Malaysia menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa memberikan perhatian serius terhadap keselamatan di kawasan perairan negara.”

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Datuk Ahmad Ibrahim yang ingin mengetahui tindakan Wisma Putra terhadap Vietnam yang sebelum ini menuntut
kawasan perairan milik Malaysia terutama di Laut Borneo Utara.

Tambahnya Malaysia dan Vietnam sentiasa berbincang dan berunding mengenai isu berkaitan kedua-dua negara melalui platform dua hala sedia ada.

Katanya kerajaan juga sentiasa menegaskan pendirian Malaysia dalam setiap pertemuan dengan negara luar di pelbagai peringkat.

“Pendirian Malaysia berhubung isu di Laut China Selatan adalah jelas dan konsisten iaitu semua pertikaian dan penyelesaian isu-isu berhubung Laut China Selatan hendaklah berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Undang-Undang Laut, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, UNCLOS 1982.”

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini