comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan tidak tanggung kos import telur ayam

Foto hiasan

PETALING JAYA : Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menegaskan semua perbelanjaan mengimport telur ayam   ditanggung syarikat pengimport sendiri.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata telur ayam tempatan sahaja yang layak menerima subsidi kerajaan.

“Sebarang perbelanjaan dan risiko untuk mengimport telur ayam ini ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pengimport dan tiada dana awam yang digunakan.

“Kebenaran mengimport telur ayam boleh ditamatkan pada bila-bila masa apabila bekalan telur dalam negara telah pulih dan stabil,” kata kenyataan itu.

Pada 6 Disember 2022, menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan kebenaran bagi mengimport telur dari sumber luar sebagai langkah sementara untuk mencukupkan kekurangan bekalan telur dalam negara yang agak meruncing, sejak Oktober lalu.

Berdasarkan rekod, usaha mengatasi kekurangan bekalan telur ayam mula menunjukkan perkembangan positif.

Sehingga Januari 2023, lebihan telur ayam direkodkan melebihi 160 juta biji telur, berbanding kekurangan berlaku pada Oktober 2022, melibatkan 118 juta biji telur.

Pihak kementerian memberi jaminan hanya telur import yang melepasi ujian keselamatan ketat sahaja dibenarkan masuk ke dalam negara.

“Setakat ini tiada telur ayam yang diimport yang gagal ujian ini,” katanya.

Loading...
Terkini