Oleh: Siti Khadijah Jaafar
PUTRAJAYA: Kerajaan tidak pernah menyembunyikan dokumen berkaitan Titah Adendum bagi membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil sebaliknya berkata, Titah Adendum yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu juga tidak pernah dilihat beliau.
“Dokumen yang dimaksudkan itu sejujurnya tidak disorok, saya sendiri sebagai Menteri Komunikasi, tidak ada menerima, melihat atau dimaklumkan mengenai dokumen terbabit.”
“Dan saya percaya perkara ini, oleh sebab ia melibatkan lembaga pengampunan dan kita juga ambil maklum mahkamah rayuan telah memutuskan supaya kes ini diremit semula ke mahkamah tinggi maka kita perlu mengambil pandangan dan nasihat peguam negara tentang beberapa perkara yang tidak memprejudiskan perjalanan kes tersebut,” katanya.
“Dalam hal ini kita berpandukan proses yang berlaku dalam mahkamah dan seperti PM ada jawab dalam parlimen sewaktu sesi soal jawab, kita tertakluk kepada prinsip subjudis, maka kita akur dan patuh dengan prinsip itu dan proses di mahkamah itu diteruskan.”
Isnin lalu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendedahkan surat daripada Majlis Kesultanan Pahang yang mengesahkan wujudnya Titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Tan Sri Shafee berkata, surat bertarikh 4 Januari lalu itu dihantar kepada anak sulung Najib iaitu Datuk Mohamad Nizar oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
Najib, 72, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Dakwa Najib, Titah Adendum itu akan membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.