Tumpuan :
Nasional

Kerajaan tidak cadang keluar arahan kadar sumbangan zakat, wakaf tetap untuk penjawat awam – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2025 (BWF25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak berhasrat untuk menetapkan kadar sumbangan zakat dan wakaf terhadap penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaliknya perkara itu boleh dilakukan mengikut kemampuan masing-masing.

“Saya tak nak berikan arahan tetapkan sumbangan zakat seperti ada yang cadangkan, tetapi biar dari hati nurani setiap insan.

“Namun, kalau mereka tanya kenapa minta kami beri sumbangan, kamu sebagai penguasa? Saya Perdana Menteri kalau orang rompak kekayaan negara, saya tidak akan biarkan. Sedaya upaya saya akan cuba bersihkan apa yang berlaku.” Katanya dalam ucapan pada Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2025 (BWF25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Menurut Anwar, budaya wakaf itu perlu dilaksanakan atas rasa tanggungjawab bersama dan ia perlu diurus dengan cekap oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) bersama Yayasan Wakaf Malaysia (YWM).

“Maknanya kita minta sumbangan itu daripada rakyat biasa. Pegawai kerajaan bagi RM10, RM100. Sumbangan gaji dia yang halal.

“Bagaimana mungkin dalam sistem pengurusan negara dan tatakelola mohon orang yang gajinya RM3,000 derma RM100 atau wakaf RM100.

“Manakala orang yang kaya ratusan ribu ringgit mencuri ratusan juta ringgit dan dalam sistem harus dibiarkan. Pelbagai alasan, politik, ekonomi, kesian, ini harus diperbetulkan.

“Kalau negara ini mahu selamat dan timbul, gerakkan masyarakat beri kesedaran kepada semua untuk tanggungjawab, jangan tunggu kaya-raya untuk wakaf, tetapi sumbangan tiap individu itu yang penting.” Ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini