comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kerajaan tidak berundur laksana penyasaran subsidi, banteras rasuah demi negara


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak boleh berundur daripada melaksanakan keputusan tidak popular seperti penyasaran subsidi dan membanteras rasuah secara besar-besaran demi menyelamatkan negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, meskipun mendapat kecaman pelbagai pihak namun beliau tidak mempunyai pilihan selain menyempurnakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan melakukan perubahan sebaiknya.

“Apakah boleh kita izinkan sebahagian daripada hasil kita tiris sama ada disakau atau kecurian atau subsidi yang tidak sampai ke golongan sasar seperti diesel? Penyeludupan itu berleluasa, itu rahsia umum puluhan tahun, kita bantu nelayan tapi ada yang menggunakan untuk menjual kepada nelayan asing.

“Kita tahu di kiosk petrol di sempadan itu penuh dengan hasil pengambilan atau pembelian hasil subsidi untuk kegunaan negara lain. Apakah itu tidak merisaukan, tentu ia merisaukan bagi yang bertanggungjawab. Tapi kalau politik picisan dia cuma mengambil markah dari meniup semangat dan kemarahan orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Kewangan (MOF), di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Menurut Anwar, hasil yang diperolehi daripada penjimatan subsidi dan usaha membanteras rasuah dipulangkan semula kepada rakyat termasuk suntikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang mencecah RM10 bilion yang memberi manfaat kepada sembilan juta penerima.

“Semua badan penguatkuasaan perlu mengambil sikap yang sama, tidak mendera, menganiayai tapi mengelakkan daripada kecurangan kerana ketirisan kalau kita susah payah umpamanya buat penyasaran subsidi diesel tapi penguatkuasaan, kebocoran masih diteruskan, ia tidak adil.

“Ia mengundang satu malapetaka kepada negara, maknanya di mana penyasaran subsidi kadang-kadang memberi kesan, susah dan kebimbangan kepada rakyat tapi jalan penguatkuasaan itu ambil jalan mudah. Sebab itu saya harap kita sama-sama menjalankan tugas dengan baik, untuk apa, kembali kepada rakyat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau mengambil sikap keras terhadap gejala rasuah dengan tidak membenarkan Jemaah Menteri campur tangan dalam urusan kontrak dan tender serta rundingan terus dibatalkan.

Beliau turut mengulangi komitmen untuk membanteras jenayah itu yang disifatkannya telah menjadi endemik di negara ini.

“Ini bukan suatu senang dan popular, kita lihat perbicaraan politik termasuk Ahli Parlimen pembangkang tiada yang memberi sokongan.

“Yang mengecam tindakan rasuah itu banyak padahal semua tahu ada sesetengah kes itu, puluhan tahun orang tahu, memang bapa korupsi negara, kumpul wang bilion-bilion dalam negara, di luar negara, tak berani siapa sentuh.

“Apabila kita sentuh, tidak ada yang sokong kerana pengaruh dan dana yang begitu luas. Saudara, saya tidak ada pilihan, kita pegang amanah dan kita harus sempurnakan. Untuk apa kita pastikan hasil? Kerana negara ini sudah berkembang,” katanya.

Mengulas lanjut, ujar Anwar, ada masalah asas yang masih belum selesai dan memerlukan perbelanjaan tinggi seperti bekalan air di Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Sabah, termasuk pelaksanaan tebatan banjir.

Tambahnya, pembangunan Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP) memerlukan air dan tenaga yang mana sumber air harus dibaiki, selain kemudahan pemuliharaan sungai Perak sekiranya diurus baik akan menyediakan bekalan air cukup.

“Jadi kita ada jangka panjang. Apakah saya boleh lengahkan? Tak boleh ini hal mendesak bagi rakyat. Tapi berapa jumlah diperlukan? Untuk KIGIP RM4 bilion keseluruhannya. Arahan saya harus mula tahun ini tak mahu tangguh. Hal menyentuh masalah asas rakyat mesti diselesaikan.

“Prasarana Kedah, kawasan MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) kita perlu pengeluaran padi lebih tinggi untuk keperluan sekuriti makanan negara ini. Unjuran awal diperlukan RM3 bilion, terkini RM5 bilion.

“Adakah kita ada pilihan? Tak ada pilihan. Oleh demikian penyasaran subsidi banteras, rasuah, elak ketirisan perlu dilakukan dan bantulah selamatkan negara kita,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini