Tumpuan :
Nasional

Kerajaan tidak berhasrat semak semula keputusan pilih U Mobile

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak berhasrat untuk menyemak semula keputusan memilih syarikat U Mobile Sdn Bhd sebagai pengendali kedua rangkaian 5G di negara ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata langkah tersebut dianggap tidak perlu kerana pemilihan sudah dibuat secara bebas, dan tidak melibatkan campur tangan pentadbiran.

“Tidak. Kalau kita lihat dalam sidang parlimen apabila saya menjawab pada tempoh hari – sewaktu sesi soal jawab menteri – kebiasaannya ahli-ahli parlimen akan ambil peluang untuk bertanya lanjut.

“Dalam konteks pemilihan MCMC telah dilakukan secara bebas oleh pasukan teknikal dalam MCMC dan diputuskan secara sebulat suara oleh Ahli-Ahli Suruhanjaya.

“Jadi tidak (ubah keputusan). Pihak pentadbiran tidak terlibat, tidak masuk campur dan saya perlu peringatkan. Ini bukan kontrak. Ini bukan lesen. Instrumennya nanti adalah spektrum.” Katanya pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Jelas Menteri Komunikasi itu, ada pihak yang mempersoalkan keputusan memilih U Mobile namun MCMC telah membuat penelitian sebaiknya.

“Ada yang bertanya, adakah pihak yang menerima ini layak menerima? Dia layak untuk bertanding sebab syarat yang dikenakan untuk sesiapa yang ingin memasukkan permohonan untuk menjadi syarikat yang akan menerajui pembangunan rangkaian 5G Kedua dia mesti lengkap perjanjian langganan saham (SSA) dalam Digital Nasional Berhad (DNB).

“Dan ada 3 syarikat sahaja Yang layak Iaitu CelcomDigi, Maxis Dan U Mobile. Jadi dari segi mata kasar, ketiga-tiga syarikat ini boleh masuk permohonan dan boleh menang.” Ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini