Tumpuan :
Nasional

Kerajaan tidak berhasrat membatalkan persembahan artis luar, termasuk konsert Coldplay

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat membatalkan persembahan hiburan membabitkan artis luar negara, termasuk konsert Coldplay yang akan berlangsung malam ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching, berkata adalah tidak adil untuk kementerian mengambil tindakan sedemikian, walaupun mendapat gesaan pelbagai pihak.

“Saya nak jawab mengenai konsert Coldplay yang disebut oleh ramai Yang Berhormat. Tahukah anda, Coldplay baru sahaja mengadakan konsert di Jakarta pada 15 November lalu. Rakyat di sana paling ramai Muslim, tetapi masih beri keizinan untuk diadakan konsert.

“Tetapi di Malaysia, kita tak benarkan Coldplay (buat konsert) di sini. Kami sudah jelaskan pada semua artis dalam dan luar negara, kalau berhasrat nak datang (ke Malaysia) perlu hormat kedaulatan undang-undang dan kebudayaan negara.

“Ini adalah pendirian KKD dan Kerajaan Madani. Saya percaya tidak kira sesiapa jadi kerajaan akan menyokong pendirian sedemikian,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi KKD di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut berkata, penganjuran konsert itu tidak bermakna kerajaan tidak menyokong solidariti untuk Palestin.

“Saya percaya nak tunjukkan solidariti kepada Palestin ada banyak cara. Ada yang pilih boikot restoran makanan segera terkenal, tetapi tak boikot Facebook, Mercedes.

“Saya harap yang beli tiket dapat menikmati konsert itu, yang tak suka, tak minat dan tak beli tiket, tidak perlulah kacau,” katanya.

Nie Ching turut menegaskan, KKD dalam usaha menambah baik garis panduan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) bagi memastikan insiden tidak diingini sebagaimana kes membabitkan kumpulan The 1975 berulang.

“Bagi 2023, PUSPAL sudah meluluskan 296 konsert membabitkan artis luar negara.

“Di antara semua persembahan setakat ini, ada satu insiden yang amat mendukacitakan iaitu membabitkan kumpulan 1975. Mereka melanggar peraturan persembahan yang tertakluk dalam garis panduan PUSPAL seperti minum arak, terdapat aksi terlampau dan memperlekeh undang-undang negara.

“Sehubungan itu, kita juga sedang dalam usaha menambah baik garis panduan PUSPAL cetakan kelima untuk pastikan insiden ini tidak berulang,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini