KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana akaun TikTok, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Jelas beliau, aplikasi sosial TikTok berkenaan adalah bukan milik kerajaan tetapi sebuah syarikat teknologi dari China.
“Tiktok ni siapa punya? Bytedance.Ltd firma teknologi dari China. Untuk pengguna TikTok macam juga platform media sosial lain, tertakluk pantang larang yang boleh dan tidak boleh.
“Kerajaan Malaysia ada kuasa ‘ban’ (sekat) akaun TikTok kita? Jawabnya tidak,” kata Saifuddin di Facebook.
“Kalau TikTok terima banyak ‘report’ (laporan) dan aduan oleh pengguna lain, maka TikTok akan ‘ban’ akaun yang menjadi isu itu.“Kiranya yang ‘ban’ TikTok kita ialah ‘publik’ (orang awam) bukannya kerajaan.
‘Publik’ buat aduan dan TikTok ‘ban’. Kita (kerajaan) pun banyak kerja lain,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Sanusi mendakwa Malaysia mahu bergerak menjadi seperti Korea Utara di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selepas akaun TikTok miliknya disekat.
Akaun TikTok Sanusi yang mempunyai 432,700 pengikut dilaporkan tidak boleh diakses sejak semalam.
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu menyifatkan tindakan berkenaan seolah-olah kerajaan takut kebebasan media, sekali gus menyebabkan beliau serta PN tidak mampu menangkis serangan dimainkan oleh pihak lawan.