Tumpuan :
Nasional

Kerajaan tetapkan jangka masa urusan sektor awam demi perkhidmatan lebih cekap

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz ditemui media selepas Majlis Amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 2025 dan Perhimpunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Putrajaya, hari ini.

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mula menetapkan jangka masa bagi setiap urusan di sektor awam sebagai langkah meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata inisiatif itu sejajar dengan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu perkhidmatan awam lebih berdaya saing dan responsif terhadap keperluan rakyat.

Menurutnya, penetapan jangka masa ini penting bagi memastikan tahap kecekapan dapat diukur secara jelas dan konsisten.

“Ia berdasarkan rungutan daripada pelanggan kita selama ini dan juga pemerhatian yang dilontarkan oleh Perdana Menteri di mana beliau melihat masih ada lagi pegawai kita yang lembab, malas dan sebagainya.

“Jadi, bagi saya jangka masa itu adalah sesuatu yang sangat baik untuk kita mengukur tahap kepantasan, kerana sekarang ini dengan dunia yang semakin canggih dengan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI), digitalisasi, dan sebagainya memerlukan kepantasan,” katanya kepada media selepas Majlis Amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 2025 dan Perhimpunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Putrajaya, hari ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berucap ketika Majlis Amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 2025 dan Perhimpunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau turut menggariskan lima tumpuan utama dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) bagi memperkukuh kualiti dan integriti perkhidmatan awam.

Ia antara lain merangkumi pembangunan modal insan berkualiti, penghayatan nilai-nilai murni dan pembangunan organisasi dinamik.

Selain memperkukuhkan sinergi awam dan swasta serta merakyatkan penyampaian perkhidmatan.

Jelasnya, langkah ini dijangka mampu meningkatkan kecekapan sektor awam serta memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini