KUALA LUMPUR: Dasar fiskal pada 2023 akan terus responsif bagi menyokong momentum pertumbuhan ke arah mencapai agenda pembangunan negara, dengan mengambil kira persekitaran global yang dijangka kekal tidak menentu antaranya disebabkan ketegangan geopolitik berterusan dan unjuran pertumbuhan yang lebih perlahan.
Justeru, Kementerian Kewangan menegaskan agihan sumber fiskal akan dilaksana melalui pendekatan lebih bersasar dan mengikut bidang keutamaan bagi meningkatkan kapasiti ekonomi dan daya saing.
“Bajet kerajaan kekal mengembang bagi menyediakan sokongan fiskal yang mencukupi dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan melaksanakan pembaharuan ekonomi di samping meneruskan pelan konsolidasi fiskal,” demikian menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2023 yang dikeluarkan kementerian itu pada Jumaat.
Menurut laporan tersebut, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan pada 2023 diunjur lebih rendah sebanyak RM272.6 bilion atau 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berikutan jangkaan pengurangan kutipan hasil bukan cukai.
“Hasil bukan cukai dianggar sebanyak RM67 bilion laitu merosot 23 peratus berbanding 2022 disebabkan oleh jangkaan terimaan dividen daripada entiti kerajaan yang lebih rendah, bagaimanapun, hasil cukai kekal sebagai penyumbang utama dan dijangka berkembang sederhana sebanyak 3.7 peratus kepada RM205.6 bilion selari dengan unjuran pemulihan ekonomi yang lebih perlahan,” jelasnya.
Selaras dengan pendekatan perbelanjaan lebih bersasar, jumlah perbelanjaan pada 2023 diunjur berkurang sedikit kepada RM372.3 bilion atau 20.5 peratus daripada KDNK terutamanya disebabkan oleh penamatan Kumpulan Wang COVID-19 (KWC-19).
Menurut laporan, peruntukan bagi Perbelanjaan Mengurus (OE) berkurang kepada RM272.3 bilion terutamanya disebabkan oleh pengurangan subsidi berikutan jangkaan harga komoditi lebih rendah dan langkah secara beransur-ansur ke arah pemberian subsidi lebih bersasar.
Selain itu, Perbelanjaan Pembangunan (DE) dijangka meningkat dengan ketara kepada RM95 bilion berikutan peruntukan lebih tinggi untuk program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) seperti pembinaan lebuh raya dan landasan kereta api, fasiliti perubatan serta institusi pendidikan.
Sejumlah US$3 bilion disediakan untuk penebusan bon 1Malaysia Development Bhd (1MDB), selain sebanyak RM5 bilion adalah untuk pembayaran tertunggak bagi komitmen KWC-19 yang dibuat pada 2022 seperti termaktub dalam Seksyen 8 (1) Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020 [Akta 830].
Secara keseluruhan, defisit fiskal dijangka berkurang kepada 5.5 peratus daripada KDNK selari dengan komitmen kerajaan ke arah mengukuhkan kedudukan fiskal bagi memastikan kewangan awam yang lebih mampan dalam jangka masa sederhana.
“Selain itu, defisit baki primer turut dianggar berkurang kepada 2.9 peratus daripada KDNK. Langkah konsolidasi fiskal akan dipercepat selepas tekanan inflasi berkurangan dan ekonomi pulih sepenuhnya berpandukan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF),” katanya.
Sementara itu, dengan mengambil kira persekitaran global dan harga komoditi semasa, kerajaan telah menyemak semula MTFF 2023 – 2025 dengan asas andaian purata pertumbuhan KDNK sebenar pada enam peratus, harga minyak mentah pada US$90 setong dan pengeluaran minyak mentah yang stabil sebanyak 530,000 tong sehari.
Andaian ini, jelasnya telah menyumbang kepada unjuran hasil yang konservatif dan peruntukan perbelanjaan berhemat dalam tempoh MTFF.
“Jumlah hasil jangka masa sederhana diunjur sebanyak RM854.3 bilion atau 14.7 peratus daripada KDNK disumbangkan oleh hasil bukan petroleum sebanyak RM699.5 bilion atau 12 peratus daripada KDNK dan hasil berkaitan petroleum sebanyak RM154.8 bilion atau 2.7 peratus daripada KDNK.
“Kerajaan akan meneruskan usaha meningkatkan kutipan hasil dengan menambah baik asas hasil, mengurangkan ketirisan dan meneroka sumber hasil baharu berpandukan MTRS,” jelasnya.
Dari segi perbelanjaan pula, jumlah siling indikatif bagi tempoh tiga tahun dianggar sebanyak RM1,111.7 bilion atau 19.1 peratus daripada KDNK dengan OE sebanyak RM842.8 bilion atau 14.5 peratus daripada KDNK dan DE pada RM263.9 bilion atau 4.5 peratus daripada KDNK.
Secara keseluruhan, defisit fiskal dijangka berkurang secara berperingkat dengan purata baki keseluruhan sebanyak 4.4 peratus daripada KDNK bagi tempoh MTFF.
Defisit lebih rendah ini akan memberi fleksibiliti kepada kerajaan bagi menyediakan ruang fiskal dan melaksanakan langkah kitaran balas sekiranya berlaku krisis pada masa hadapan, jelas laporan itu.
Sementara itu, dalam Bajet 2022, kerajaan mengunjurkan defisit fiskal sebanyak enam peratus daripada KDNK berdasarkan prospek ekonomi yang lebih baik berikutan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial.
Kedudukan fiskal terus bertambah baik pada separuh pertama 2022 terutamanya disebabkan pengukuhan permintaan domestik yang menyumbang kepada kutipan hasil menggalakkan.
Bagaimanapun, ketidaktentuan global telah menyebabkan peningkatan harga komoditi seterusnya memaksa kerajaan menyusun semula keutamaan perbelanjaan bagi menyediakan sokongan fiskal terutamanya subsidi tambahan untuk mengurangkan beban kewangan rakyat susulan kenaikan inflasi dan kos sara hidup.
Melangkah ke hadapan, kerajaan memberi jaminan akan terus komited untuk meningkatkan kredibiliti pelaksanaan dasar dan rangka kerja fiskal melalui pembaharuan yang holistik, demikian menurut laporan tersebut.
— BERNAMA