
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan akan terus konsisten dengan usaha memerangi rasuah.
Perdana Menteri berkata, agenda reformasi terutamanya dalam usaha mencegah rasuah tidak hanya terhad kepada penguatkuasaan.
Sebaliknya, katanya nilai-nilai seperti integriti, akhlak dan etika adalah aspek yang perlu diterap dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
“Dengan meraikan serta memartabatkan integriti, ia berupaya memacu Malaysia ke arah kecemerlangan yang holistik yang akan mencakup aspek fizikal, rohani, nilai dan identiti,” katanya dalam perutusan sempena Hari Antirasuah Antarabangsa yang di sambut hari ini.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan 9 Disember sebagai Hari Antirasuah Antarabangsa untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung kegiatan itu.