Oleh: Hilmi Abdul Malik
SHAH ALAM: Kerajaan akan meneliti usaha untuk membawa pulang artifak negara yang masih terdapat di negara luar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia termasuk beberapa dokumen sulit yang disimpan oleh bekas penjajah.
“Harganya (artifak) mungkin mahal. inilah yang dimaksudkan supaya bahan-bahan ini dapat dibawa balik ke Malaysia untuk dijadikan sebagai bahan sejarah, bukti dan memang keperluan ini sangat mendesak bukan hanya bahan-bahan sejarah yang berbentuk artifak tetapi banyak dokumen yang masih terdapat di luar negara.
“Bukan hanya dicuri tetapi dirampas, ada yang bibawa sebagai dokumen yang sulit yang dibawa oleh pegawai-pegawai berkenaan secara peribadi atau rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024 disini, hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga sedia berunding dengan mana-mana pihak dalam memastikan artifak negara dapat dibawa pulang meskipun akan menelan belanja yang agak tinggi.
“Perlu dirundingkan terutama dari segi harga dan kebolehan mereka untuk keluarkan bahan itu (artifak) dari simpanan mereka.
“Ini wajib, berapa pun harganya saya fikir usaha mesti dibuat… kalau tidak sepenuhnya dibiayai kerajaan mungkin pihak swasta khususnya GLIC dan GLC boleh biayai sebahagian daripada kos berkenaan,” katanya lagi.
Terdahulu, beliau menyatakan, Arkib Negara mempunyai kekangan peruntukan dalam usaha untuk membawa pulang beberapa artifak negara yang masih terdapat di negara luar.
Kesemua bahan-bahan itu dipercayai masih berada di pejabat bekas penjajah, muzium, atau mungkin berada di bawah pegangan sesetengah individu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.