Tumpuan :
Nasional

Kerajaan teliti syor Pindaan Akta Kawalselia Padi dan Beras – Armizan

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali ketika hadir pada Program Jualan Rahmah Kampung Kawang di perkarangan Masjid Nurul Iman, Kampung Kawang, Papar hari ini.

Oleh: Safwan Sawi

PAPAR: Kerajaan teliti syor pindaan ke atas Akta Kawalselia Padi dan Beras (Akta 522) 1994, Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) (Pindaan) (No.5) 2008, kata Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Perkara itu bagi tujuan membolehkan Sabah turut menikmati manfaat harga kawalan sama kerana beras tempatan Sabah tidak termasuk dalam senarai akta terbabit.

“Bagi saya kita perlu melihat kepentingan jauh lebih besar kepentingan umum masyarakat di Sabah yang juga menghadapi masalah kos sara hidup dengan kita membuat pindaan kepada perintah tersebut, supaya Sabah juga boleh meninkmati bekalan harga beras putih tempatan tambahan dari semenanjung Malaysia dan pada harga kawalan RM2.60 tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir melancarkan Program Jualan Rahmah Kampung Kawang di perkarangan Masjid Nurul Iman, Kampung Kawang di sini, hari ini.

Cadangan pindaan itu menurut Armizan telah dikemukakan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam mesyuarat Kabinet yang juga diambil maklum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Armizan juga telah menghubungi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung cadangan pindaan akta terbabit untuk mengadakan perbincangan segera antara kerajaan persekutuan dan negeri.

“kita berharap supaya kedua-dua pihak dapat berunding dapat mencapai kata putus sebab permintaan itu ada saya melihat ada rakyat Sabah yang bertanya kerajaan mengumumkan kita tawar harga beras putih tempatan,

“tetapi di Sabah ada beras putih tempatan yang dikeluarkan oleh pengusaha di Sabah tetapi harganya tidak dikawal jadi ada kekeliruan di situ jadi bila kita semak dari tahun 2008 lagi perintah itu dikeluarkan dan dikecualikan Sabah dalam senarai tersebut,” katanya.

Kawalan harga beras tempatan terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan melalui Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Punca kuasa merujuk kepada Akta Kawalselia Padi dan Beras (Akta 522) 1994, Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) (Pindaan) (No.5) 2008, beras tempatan Sabah tidak termasuk dalam senarai dikawal harga.

Menurut Armizan lagi, syor itu diambil kira difahamkan industri beras tempatan di Sabah sedikit berbeza dengan Semenanjung.

Sebagai contoh kapasiti saiz kilang padi, daya kecekapan dan daya saing antara pengilang-pengilang di Sabah adalah lebih rendah berbanding Semenanjung.

“Tahap infra adalah berbeza ditambah pula dengan cabaran musim banjir juga memberi kesan kepada kualiti pengeluaran padi. Kaedah agihan subsidi juga sedikit berlainan sebagai contoh benih padi, dimana ianya terletak dibawah bidang kuasa agensi kerajaan negeri.

“Atas sebab itu, sebelum ini harga beras tempatan di Sabah tidak termasuk dalam perintah pengawalan tersebut, selain mengambil kira kadar penghasilan padi yang rendah (5%) di Sabah serta kos pengeluaran padi yang tinggi,”

“harga jualan bagi beras tempatan bagi negeri Sabah adalah lebih tinggi dan tidak dikawal harganya. Ini bertujuan untuk menyokong industri beras tempatan Sabah terus kekal mampan dan berdaya saing,” katanya.

Loading...
Terkini