Oleh Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan meneliti masalah lambakan sayuran yang didakwa berlaku di Tanah Tinggi Lojing sehingga menjejaskan lebih 500 pekebun.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata antara sebab lambakan ini adalah penanaman sayuran tertentu pada satu-satu musim mengikut harga pasaran, sehingga wujud lambakan.
Justeru, khidmat nasihat akan diberikan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memastikan bekalan sayuran stabil dan memanfaatkan pekebun tempatan.
“Sekarang ini FAMA membeli sayuran pada harga yang lebih mahal dari harga pasaran kerana mahu membantu pekebun. Tapi langkah ini tidak membantu dalam jangka masa panjang.”
“Kementerian akan memastikan penyelarasan dibuat bagi menyeimbangkan bekalan sayuran tempatan dengan sayuran import”, katanya selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Menteri KPKM bersama Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Kedah di sini, malam tadi.
Untuk itu, pengkalan data katanya sedang dikemaskini bagi membolehkan bantuan dan khidmat nasihat bersesuaian disalurkan kepada pekebun.
Beliau mengulas laporan Buletin TV3 sebelum ini, mengenai pekebun di Tanah Tinggi Lojing terpaksa membuang ribuan tan sayur yang tidak terjual kerana lambakan bekalan sayur import dari luar negara.
Masalah berlaku apabila pengeluaran sayur tempatan kini meningkat selepas berakhir musim tengkujuh, namun bekalan import didakwa masih dibawa masuk ke negara ini.