comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kerajaan teliti cadangan rangkum salah laku anggota SPRM, PDRM dalam Ombudsman Malaysia

 

Oleh: Syafiqah Damanhuri & Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia untuk turut merangkumi salah laku anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata, satu kajian mendalam akan dibuat berhubung perkara berkenaan.

“Pada masa ini SPRM mempunyai jawatankuasa aduannya sendiri ditubuhkan di bawah Akta SPRM 2009. Jawatankuasa ini bertujuan antara lain memantau dan menangani aduan bersifat bukan jenayah terhadap pegawai dan anggota SPRM. Bagi PDRM aduan terhadap pegawaI dan anggota dikendalikan tatakelaluan IPCC 22.

“Bagaimanapun perkara ini akan diperhalusi dan dibincang lebih lanjut dengan semua agensi kementerian yang berkaitan dalam sesi libat urus akan diadakan dalam tempoh 3 bulan bermula 12 Jun.

“Satu kajian mendalam akan dibuat di mana pelantikan akan dilakukan dan menghalusi semua pandangan dan keputusan akan diputuskan selepas itu.” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan.

Tambahnya, cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia telah dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Agenda dan Reformasi Undang Undang pada 29 April lalu.

Ia dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan memutuskan sesi libat urus holistik dilaksanakan bagi tempoh 3 bulan untuk menentukan mekanisme penubuhan dan pelaksanaan badan berkenaan.

Keputusan itu turut dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Jun lalu dan proses pelantikan Ahli Jawatankuasa dari setiap agensi terlibat bagi tujuan sesi libat urus sedang dijalankan.

Menurut Kulasegaran, sesi libat urus itu penting bagi memastikan pandangan dan keperluan semua pihak kepentingan diambil kira dalam proses penubuhan Ombudsman Malaysia secara telus dan menyeluruh untuk kepentingan semua.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini