comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan tekad bantu 10,000 anak Bumiputera sambung belajar melalui program KeDESA

Oleh: Ain Shafiqah Zaki 

KUALA LUMPUR: Kerajaan dengan usahasama Gerakan Pendidikan Bumiputera Malaysia (GPBM) giat mencari 10,000 anak-anak Bumiputera dalam tempoh 3 hingga 6 bulan melalui program Kembara Kesedaran Pendidikan Anak Desa MADANI (KeDESA).

Ia bertujuan bagi membantu golongan itu menyambung pelajaran dan diberi kesedaran tentang kepentingan pendidikan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, program itu juga sekaligus menjadi perantara kepada pelajar dan institusi pendidikan untuk membolehkan mereka menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan berkemahiran.

“Pihak KeDESA akan mengembara ke 40 kawasan luar bandar dan pendalaman di seluruh pelusuk tanah air. Disini saya memohon supaya agensi-agensi yang terlibat untuk membantu Program KeDESA ini.

FOTO: NSTP

“Seterusnya merealisasikan objektif mereka iaitu mencari 10 ribu anak-anak Bumiputera dalam tempoh 3 hingga 6 bulan untuk dibantu bagi menyambung pelajaran dan diberi kesedaran tentang betapa pentingnya pendidikan,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara, katanya turut menggerakkan usaha menjadikan pendidikan TVET sebagai “Game Changer” yang memfokuskan kepada kemahiran.

Jelasnya, keberhasilan kepada usaha ini dapat dilihat di mana kadar kebolehpasaran graduan TVET kini telah meningkat kepada 94.5 peratus pada tahun 2023.

Beliau menyeru supaya anak bangsa tidak tercicir dalam pelbagai sektor kerjaya, terutamanya bagi mereka yang mempunyai kecenderungan yang tinggi terhadap pengajian secara teknikal berbanding akademik.

Sebelum ini media melaporkan seramai 10,160 daripada 383,685 calon baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Justeru, program ini menjadi salah satu langkah intervensi bagi mengekang perkara itu.

Beliau ditemui semasa program flagoff Kembara Kesedaran Pendidikan Anak Desa MADANI (KeDESA), petang tadi di ibu negara.

Program itu melibatkan mahasiswa-mahasiswa antaranya dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai ikon bagi memupuk minat anak-anak Bumiputera melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini