Tumpuan :
Nasional

Kerajaan tangani isu pemakanan tak seimbang 5.6 juta kanak-kanak

Datuk Seri Ahmad Zahid ketika mempengerusikan Majlis Sosial Negara di Parlimen.

Oleh Amirulhakim Lokman

KUALA LUMPUR: Kerajaan bertekad untuk memerangi masalah beban berganda pemakanan tidak seimbang atau malpemakanan yang dihadapi 5.6 juta kanak-kanak prasekolah, sekolah rendah dan sekolah.

Justeru, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memorandum Jemaah Menteri akan dibentangkan dalam tempoh terdekat supaya penyelarasan bagi menangani isu berkenaan dapat dilaksanakan memandangkan ia memerlukan kerjasama rentas kementerian dan agensi.

“Kami berbincang secara terperinci langkah berkenaan, pembentukan fizikal bukan sekadar tinggi dan besar, tapi masalah pembantutan, masalah kurang saiz, berat dan juga masalah obesiti. Generasi Malaysia yang akan datang mesti mengikut piawaian yang ditentukan,” katanya sebaik mempengerusikan Majlis Sosial Negara di Parlimen.

Tambahnya peruntukan malpemakanan bagi sekolah-sekolah rendah dan menengah rendah kira-kira RM800 juta.

Justeru pihaknya akan mengambil kira pemakanan di taska atau tadika kerana pembentukan fizikal bermula daripada pemakanan.

“Generasi akan datang Malaysia mesti mengikut piawaian yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bukan hanya WHO iaitu mengikut ukuran-ukuran tertentu tetapi kita mahu sebagai orang ASEAN keseluruhannya, pembentukan fizikal ini boleh dilakukan jika nutrisi yang diambil itu bersesuaian dengan piawaian ditentukan,” katanya.

Antara cadangan telah diperhalusi setakat ini, termasuk inisiatif pengecualian cukai kepada pengusaha dan syarikat yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat CSR bagi pembelian peralatan ukur berat dan tinggi bagi kegunaan taska dan sekolah.

Turut diwujudkan polisi larangan penajaan oleh syarikat yang mengeluar, memasarkan makanan dan minuman yang tidak sihat di taska dan sekolah serta memperluaskan pelaksanaan program hidangan berkhasiat di sekolah hits.

Loading...
Terkini