IPOH: Kerajaan tidak memandang ringan soal kenaikan harga barang yang membebankan hidup rakyat biarpun kecaman terus dilemparkan oleh segelintir pihak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meskipun pun harga barang dapat dikawal dengan pembayaran subsidi, kerajaan juga mempunyai perancangan masa hadapan dengan berusaha menggandakan hasil pengeluaran hasil sedia ada.
“Saya dah arah syarikat-syarikat besar misalnya Sime Darby, Guthrie, FELDA untuk fikirkan perkara ini kerana kita import terlalu banyak barang makanan. Kita di Malaysia ada tanah yang subur tapi kita masih import semua barang makanan,” katanya.
Tambahnya lagi, antara contoh yang sedang berlangsung ialah kerjasama Khazanah dengan syarikat Farm Fresh bagi keluaran produk tenusu dalam negeri.
“Saya hendak beri jaminan kita tak pandang ringan walau orang kecam macam-macam, contoh kerja baik itu Datuk Seri Salahuddin Ayub (perkenal inisiatif Payung Rahmah),” katanya semasa berucap sempena Jualan Rahmah Mega@Tambun di perkarangan Mydin Manjoi di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) yang memangku tugas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Perdana Menteri turut mengakui usaha mengawal harga barang bukanlah perkara yang mudah, namun kerajaan tidak akan bersikap lepas tangan dan sentiasa mencari solusi untuk membantu meringankan beban kewangan rakyat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengakui, kerajaan tidak mampu untuk mengawal sepenuhnya kenaikan harga barang terutama yang melibatkan barang import.
Beliau memberi contoh pengeksport bawang terbesar dunia, India yang mengenakan 40 peratus duti eksport ke atas bawang.
“Keperluan bawang merah dan bawang putih, memang kita import dari India, kalau kita nak tanam (sendiri), ambil masa sikit sebelum ada hasil. Bila berlaku kenaikan cukai itu, bermakna ada hal yang kita boleh kawal, ada yang susah nak kawal (harga barang),” katanya.
Antara langkah diperkenalkan kerajaan dalam mengawal harga barangan keperluan di negara ini termasuklah pasar tani, aplikasi mobil PriceCatcher dan jualan Rahmah.
Jualan Rahmah Mega@Tambun yang bermula 8.30 pagi merekodkan jualan sebanyak RM270,000 melibatkan 36 jenis barangan dengan kehadiran lebih 8,000 pengunjung setakat jam 4.30 petang.